Ilmu Cinta dari Bumi ke Marikh

· Puisi
Section image

Ilmu Cinta dari Bumi ke Marikh

(Knowledge of Love from Earth to Mars)

Aku katakan kepada

si punai itu: apa yang kamu

mahu dalam kehidupan ini?

Dan dia pun berkata:

aku ingin terbang tinggi

tatkala bermimpi dan

bermain cinta, diangkat naik

ke tujuh petala langit dan

terus meninggalkan Bumi—

maka aku katakan kepadanya:

siapa kamu untuk berada

di luar Bumi? Lalu dia bernyanyi:

bila aku terbang tinggi, dan

berenang di lautan angkasa,

aku akan ditemani bintang-bintang

yang mencubit-cubit tubuhku,

lalu membawaku ke Marikh!

Di Marikh, si punai bertenggek

menanam kaki di tanah gersang,

pasir merah membayang langit

nyala berdarah—

hanya dia seorang yang bisa

menebar sayap seluasnya.

Pada dingin udara, dia dendangkan

ilmu cinta yang dibawanya,

lalu tumbuh kaki ketiga

yang memacak ke tanah

dan memancut baja. Terus

dia mengembang besar menjadi

gunung, tidak lagi terbang tapi

disembah agung oleh para makhluk

yang datang mencari kuasa untuk

menghapus segala yang gelap,

dan belajar doa untuk terus bercinta.

K. Hazwan

26 Oktober 2026