Di Penghujung Hari
Di Penghujung Hari
·

𝗗𝗶 𝗣𝗲𝗻𝗴𝗵𝘂𝗷𝘂𝗻𝗴 𝗛𝗮𝗿𝗶
(𝘈𝘵 𝘵𝘩𝘦 𝘌𝘯𝘥 𝘰𝘧 𝘵𝘩𝘦 𝘋𝘢𝘺)
Di penghujung hari, siapa
yang mampu memaksa hati
untuk terus tutup
atau buka, dan meminjam
sekelumit pandang
untuk dibuat santapan
pagi, yang mengangkat tangan
mengutip taburan doa yang
tersandai ringan di pantai abadi.
Hari-hari itu dikawal
oleh perundangan masa
yang menjadi pentadbir akal
dan jiwa manusia –
namun adakah ia sedar
bahawa mulut yang merasa
sempitnya bekal di penghujung
hari itu, tidak bercawan
dan tidak pula meragu-ragu.
Mungkin sebab dilalai usia
atau digesa panggung kerja,
kita pun mengutip mengikut masa
menatang pinggan dan bergelandangan.
𝗞. 𝗛𝗮𝘇𝘄𝗮𝗻, 𝟮𝟱 𝗙𝗲𝗯𝗿𝘂𝗮𝗿𝗶 𝟮𝟬𝟮𝟲 / 𝟳 𝗥𝗮𝗺𝗮𝗱𝗮𝗻 𝟭𝟰𝟰𝟳𝗛