Musim Panas itu Titik Nol

· Puisi
Section image

Musim Panas itu Titik Nol

(Summer is the Zero Point)

Marilah akhiri musim panas ini

kerna yang hangat itu tidak

berselimut, tidak juga menjemput–

hanya didakap nadi yang

berdenyut; mulanya perlahan

dan kemudian bergoncang

tiada tenang, tiada pula

yang merancang, tak terbina

ranjang di anjang-anjang.

Kembalikan selimut, agar aku tahu

musim panas sudah berlalu–

aku ingin dingin di siang hari,

dan sejuk di waktu petang,

lalu dipeluk hangat di bantal

malam; dengan keringat masam

meluncur waktu, hampir lupa–

dingin itu yang membawa kamu

melacur laju! Umpama burung

diikat sayap hanya berdiri

berserah badan dicabut bulu.

Berikan kami musim luruh

yang ditiup syahdu, menggugur nafas

resah; kerna musim panas itu

permulaan segala waktu, titik nol–

berobrolan di awal masa, berpencak

hingga ketiduran, bergasak sampai

berlelah dan berpeluhan!

Marilah hadir dijemput musim,

walaupun tak lagi disembah takzim;

burung pun terbang basah di dasar laut,

dengan gelisah mencari malim.

K. Hazwan

6 Ogos 2026